Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 atasi pencemaran sumber air

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan dipinda bagi mengatasi insiden pencemaran terhadap sumber air.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dalam pindaan itu, kerajaan akan meningkatkan tempoh hukuman dan kadar denda ke atas tindakan yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air.

Dalam hal ini, pindaan melibatkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pindaan akan melibatkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pindaan terhadap beberapa spesifik Seksyen itu turut melibatkan penyenaraian kesalahan-kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan yang menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna serta melepaskan apa-apa kumbahan, efluen, benda atau bahan ke dalam mana-mana lurang.

“Selain itu, ia membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air yang telah dicemari daripada pihak yang didapati bersalah menyebabkan pencemaran air.,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, kementerian juga akan meneruskan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] bagi menangani insiden pencemaran secara berkesan.

Menurut Nik Nazmi, pindaan ke atas Akta 127 akan dijalankan secara berfasa seperti berikut:

Pindaan Fasa 1 melibatkan elemen kompaun dan penalti bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil ke atas pelaku dan pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar. Ia sedang dimurnikan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku tahun keempat tahun 2023;

Pindaan Fasa 2 yang akan memperkasakan Akta 127 secara menyeluruh masih sedang diperhalusi dan diteliti bersama pakar undang-undang dan alam sekitar. Berdasarkan penelitian Kementerian, draf pindaan Fasa 2 perlu melibatkan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan pemegang taruh yang berkaitan seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak penggerak projek pembangunan dan pihak industri supaya dapatnya adalah menyeluruh.

Kementerian juga sedang melaksanakan beberapa pendekatan bukan struktur dan penyelesaian berasaskan persekitaran bagi memberikan pendidikan serta kesedaran awam mengenai kelestarian sungai dan memastikan kualiti air sungai terjamin.

Ini termasuk Program Pembangunan Denai Sungai Kebangsaan (DSK), sambutan Hari Air dan Hari Sungai, Rakan Alam Sekitar, sambutan hari Alam Sekitar, aktiviti pembersihan sungai dan sebagainya bertujuan menonjolkan kepentingan sungai sebagai sumber air

BERITA PENUH