PKP yang panjang: Mahiaddin mendapat laba, 1,660 rakyat bunuh diri

LAPORAN KHAS BAHAGIAN PERTAMA

Tindakan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang paling panjang di dunia telah menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat, namun parti yang memerintah iaitu Perikatan Nasional, mereka boleh berbelanja besar dalam PRU-15 yang berlangsung selepas itu.

Ketika rakyat susah akibat PKP dari 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2021 itu, pihak berkenaan sampai hati menyakau duit dari projek-projek kerajaan yang diluluskan secara runding terus atau tanpa tender terbuka.

Salah satu kes bunuh diri ketika PKP yang panjang.

Di kalangan rakyat, kesan yang paling ketara dapat dilihat akibat PKP yang panjang di negara ini adalah jumlah yang membunuh diri iaitu seramai 1,660 orang dan dari pelbagai bangsa, kaum dan agama, satu angka yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Kalau selama ini, amat jarang sekali berlaku kes bunuh diri di kalangan umat Islam dan Melayu kerana ia dianggap tindakan yang taboo dan tidak diterima oleh masyarakat, semasa PKP, ramai antara mereka turut tersenarai dalam statistik ini.

Menurut bekas Menteri Dalam Negeri ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kematian akibat membunuh diri sepanjang PKP adalah 1,660.

“Dari siasatan didapati, antara puncanya adalah masalah kewangan, masalah kesihatan, tekanan perasaan dan masalah keluarga,” kata Hamzah ketika menjawab soalan Datuk Seri Mujahid Yusof (PH – Parit Buntar) dalam sidang Parlimen pada 21 Julai 2022 lalu.

Menteri Kesihatan, Kahiry Jamaludin pula memaklumkan, jumlah kes bunuh diri meningkat mendadak pada tahun 2021.

Malaysia mencatatkan kenaikan 81 peratus dalam kes bunuh diri tahun lalu iaitu sebanyak 1,142 kes pada tahun 2021 berbanding hanya 631 kes pada 2020.

Untuk setengah tahun pertama 2022, 467 kes bunuh diri dicatatkan oleh pihak polis, kata Khairy dalam kenyataannya sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 10 September tahun lalu.

“Faktor penyumbang tingkah laku bunuh diri ini adalah pelbagai dan kompleks, seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans,” katanya.

Selain kes bunuh diri, akibat tekanan yang melampau, rakyat negara ini juga mengalami pelbagai lagi kesan akibat PKP yang panjang itu.

Antaranya kehilangan pekerjaan, terputus bekalan makanan, terpisah dengan keluarga terdekat dan juga penutupan premis perniagaan.

PN menyediakan sebuah kereta sebagai cabutan bertuah untuk menarik orang ke majlis mereka.

MAHIADDIN BELANJA BESAR

Ketika 1660 membunuh diri kerananya, media melaporkan pihak tertentu berjaya mengumpulkan berbilion ringgit hasil dari komisyen projek kerajaan yang diagihkan tanpa tender.

Jadi inilah puncanya mengapa Perikatan Nasional (PN) berbelanja paling besar dan mewah sepanjang kempen PRU-15 lalu.

Dengan 3 – 5 peratus komisyen untuk setiap projek yang diberikan, Bersatu dan PN menjadi parti yang paling mewah berbelanja semasa kempen PRu-15.

Mereka mendapat keuntungan dari projek kerajaan yang diagihkan ketika kerajaan Mahiaddin mengisytiharkan darurat dan semasa PKP.

Dengan pengisytiharan darurat, kerajaan bebas berbelanja tanpa perlu melaporkan kepada Dewan Rakyat bagaimana duit rakyat dan negara dibelanjakan.

Perkara ini terdedah apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka mendapati tiga hingga lima peratus dari nilai projek yang diterima oleh para kontraktor perlu dibayar kepada parti yang memerintah ketika itu, yang ditujukan kepada Bersatu.

Perkara ini diperolehi oleh SPRM selepas mereka menyiasat dan menebual para kontraktor yang mendapat projek yang bernilai antara RM50 juta ke RM500 juta dari wang sejumlah RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan.

Ekoran itu, SPRM telah menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang juga sepupu kepada menantu Mahiaddin, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Penahanan reman selama lima hari ini dipercayai bakal memecahkan cerita terperinci apa yang berlaku di sebalik perbelanjaan mewah PN ketika pilihan raya lalu.

BERSAMBUNG KE SIRI 2

Â