PKR Selangor teliti, perbaiki kelemahan PRU 15 menjelang PRN

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) yang lalu, sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang 16 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat enam kerusi.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata meskipun keputusan PRU15 tidak seperti apa yang diharapkan oleh PKR namun ahli dan pimpinan harus bermuhasabah dan membaiki kesilapan berdasarkan keputusan PRU 15.

Katanya, PKR waktu ini sudah meneliti pelbagai faktor dan mengambil iktibar daripada kekalahan 6 kerusi tersebut yang menyaksikan Parlimen Kapar, Hulu Selangor dan Kuala Langat dirampas oleh PN.

“Sebagai contoh di Parlimen Kapar, terdapat tiga DUN iaitu Selat Klang, Meru dan Sementa.

“Adakah ketiga-tiga DUN ini kita akan tewas? Kita perlu tahu tahap kekalahan di kawasan yang kalah.

“DUN Sementa merupakan kerusi lompat (ADUN melompat) maknanya kita tidak menjaga dengan sempurna kawasan itu dan di situ nampak kelemahan,” katanya kepada HarapanDaily.

Yahya berkata, PKR akan mengambil tindakan segera bagi meneliti setiap kelemahan bagi menghadapi PRN nanti.

“Tindakan yang diambil sejurus PRU15 adalah dengan meneliti di mana kesilapan-kesilapan sendiri pada peringkat dalaman.

“Tindakan kita (waktu ini) dengan undur ke belakang dan melihat kelemahan sendiri sepertimana permainan bola sepak, begitu juga dalam pilihan raya, di mana posisi pertahanan dan penyerang akan diperkuatkan untuk memenangi sesuatu perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut kesal dengan cara berkempen oleh PN yang dianggapnya tidak sihat dan tidak matang.

“Dalam mana-mana pertandingan, pihak musuh cuba apa sahaja cara janji dia menang.

“Walaupun kadang-kadang perkara yang dibuat itu tidak mengikut etika dan lunas-lunas yang sepatutnya dengan tindakan melampau mereka,” kata Yahya.

Pada PRU15 yang lalu, PN banyak menggunakan sentimen agama dan kaum untuk meraih golongan pengundi muda menerusi medium media sosial dalam kempen mereka.

Katanya Yahya lagi, PKR Selangor akan membuat persediaan awal dalam masa terdekat untuk mempertahankan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih dalam blok kerajaan.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan PH optimis mampu menang di antara 45 hingga 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam PRN akan datang. Beliau berkata sasaran itu berdasarkan data awal pilihanraya yang diperoleh pihaknya.

BACA JUGA Syarikat Korea Selatan paling tinggi mohon buka restoran di Malaysia