
PM akan jawab isu DNAA Zahid di Dewan Rakyat petang ini
Perdana Menteri akan menjawab segala persoalan mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Rakyat, hari ini.
Hal itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, semalam semasa menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada Perdana Menteri akan menjawab mengenai isu keputusan DNAA Presiden UMNO.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, sesi itu dijangka berlangsung sekitar jam 2.30 hingga jam 3.30 petang.
“Perdana Menteri akan menjawab sebab tuan badan (Anwar) ada di sini, bagi tangan ‘good’ itu dia (Anwar) akan jawab esok (hari ini).
“Jadi, soalan itu boleh tanya kepada Perdana Menteri, tetapi komitmen daripada kita adalah kita akan menentukan bahawa kita perlu berlaku adil,” kata Azalina ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim melangkah masuk ke Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Takiyuddin adakah Anwar akan menjawab isu DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi di Dewan Rakyat.
Sejak minggu lalu, blok pembangkang buat kecoh dalam sidang Dewan Rakyat apabila bangkit menuntut penjelasan mengenai keputusan DNAA Zahid.
Akibatnya, aturan asal mesyuarat semasa sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 12 September lalu tertangguh sehingga setengah jam.
Malah, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapan Parlimennya menyatakan bahawa DNAA tiada dalam Islam.
Walhal, DNAA terkandung dalam Seksyen 103 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 ketika Hadi menjadi Menteri Besar Terengganu.
BACA JUGA DNAA dalam Islam