
PM Anwar bangga agensi kerajaan tiada ketirisan
Perdana Menteri bangga dengan prestasi ditampilkan agensi kerajaan kerana tiada sebarang kecurangan, ketirisan atau kerosakan, terutama dalam skala besar, sepanjang tempoh beliau menerajui pentadbiran Persekutuan sejak lapan bulan lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan contoh Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) yang telah mempamerkan prestasi yang baik dalam pengurusannya.
“Saya sudah lapan bulan mengetuai kerajaan. Saya bangga kerana saya telah meneropong dan menelusuri… setiap agensi dipantau, diteliti kalau ada apa-apa kecurangan, ketirisan, kerosakan, terutama dalam skala besar.
“Saya bersyukur, Alhamdulillah kerana setakat ini, AmanahRaya dianggap berprestasi baik.
“Saya harap semangat ini dikekalkan. Ia tidak hanya terletak pada pimpinan tetapi seluruh keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) Yang Ke-100, di ibu negara, malam ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) Yang Ke-100, di ibu negara, malam ini.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa memegang amanah adalah satu tanggungjawab besar.
Bahkan, jelasnya, al-Quran turut menyatakan jika sifat amanah tidak disempurnakan pada tahap yang baik, ia bererti khianat dan mendustakan agama.
“Mengabaikan atau mengkhianati amanah anak yatim dan orang miskin, al-Quran menyebut itu orang yang mendustakan.
“Sebab itu sementara saya beri pujian mengawal jumlah berbilion ringgit, tetapi kalau lihat dari konteks itu, maka kita harus terpanggil dan tersentuh perasaan.
“Kita tingkatkan lebih baik, termasuk meningkatkan tahap pengurusan, terima idea baru dan transformasi digital yang diperlukan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Hadis 40 Imam Nawawi: Berlapang dada, hormati inisiatif kerajaan – ABIM