PM Anwar bertemu Presiden China Xi Jinping

Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping di Great Hall of People, Beijing petang ini.

Perdana Menteri dan Jinping kemudian mengadakan mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira 45 minit.

Ia merupakan mesyuarat secara bersemuka buat julung-julung kalinya diadakan antara kedua-dua pemimpin itu.

Dalam ucapan ringkasnya, Jinping yang mengalu-alukan kehadiran Anwar berkata, beliau menghargai lawatan itu, apabila Perdana Menteri menerima undangan ke China walaupun ketika bulan Ramadan, lapor Bernama.

Beliau juga mengambil maklum ulang tahun ke-10 pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara tahun ini serta 50 tahun hubungan diplomatik pada 2024.

Beliau berharap di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia dan China akan dapat bekerjasama lebih erat untuk membawa hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri juga dijadual bertemu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Rakyat China Zhao Leji.

Esok Perdana Menteri akan diberikan sambutan rasmi di Great Hall of the People, Beijing oleh Perdana Menteri Li Qiang dan ikuti dengan mesyuarat dua hala.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People, Beijing pada 31 Mac 2023. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

BACA JUGA: PM Anwar solat Jumaat di masjid tertua di Beijing