PM Anwar dianggap ‘tegur’ masalah peralatan hospital rosak

Gambar Perdana Menteri menziarahi Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Hospital Selayang, Selangor nampaknya mengundang tafsiran orang ramai.

Rata-rata warganet berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim secara halus ‘menegur’ masalah kerosakan kelengkapan peralatan yang dihadapi hospital kerajaan.

Reaksi itu muncul susulan notis kerosakan berdekatan katil tokoh ilmuwan berkenaan yang terpampang jelas apabila diperbesar.

“Adalah dimaklumkan bahawa dengan ketiadaan kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) teknologi maklumat & komunikasi (ICT), proses penggantian peralatan ICT hospital akan tergendala sehingga kontrak tersebut disambung semula kelak,” kata makluman itu.

Ciapan Anwar di Twitter itu juga memberitahu bahawa beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melawat Datuk Seri Gopal Sri Ram yang sedang dirawat di Hospital Gleneagles.

“Mendoakan agar kedua-dua mereka segera diberikan kesembuhan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, ciapan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan dilihat menarik maklum balas orang ramai yang membangkitkan masalah yang dihadapi pihak hospital.

“Komputer di Hospital Selayang semua rosak. Sistem online di sana karut. Kesian Tan Sri (Dr Mohd Kamal). Harap terima rawatan bagus,” kata pengguna Twitter, @Zulaikh43871220.

Sementara itu, @juin_ke juga mendakwa masalah sama kerap berlaku di Negeri Di Bawah Bayu.

“Ia begitu kerap berlaku di Hospital Sabah. Tertanya-tanya bagaimana dengan hospital KKM yang lain,” katanya lagi.

Baca juga Malaysia Madani: 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025