PM Anwar perlu rangka strategi hadapi PRN, buktikan ‘gelombang hijau’ tidak wujud

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan digesa untuk segera merangka strategi Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya dapat menyampaikan mesej bahawa fenomena ‘gelombang hijau’ dalam politik Malaysia tidak wujud sama sekali.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan perlu menang kesemua enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu untuk mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau juga mahu Anwar buktikan bahawa kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah salah apabila mengatakan Perikatan Nasional (PN) mampu merampas Selangor dari Pakatan Harapan (PH).

“Enam PRN ini adalah seperti satu versi Pilihan Raya Umum ke-15 yang lebih kecil, walaupun pilihan raya negeri diadakan selepas PRU-15.

“Hamzah perlu dibuktikan salah apabila mengatakan yang PN mampu untuk menawan kerusi di Selangor dan mempunyai peluang 50-50 untuk menawan Negeri Sembilan dalam pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Lim turut mengulas kenyataan Hamzah yang mengatakan ‘pintu sentiasa terbuka’ untuk Perikatan Nasional bekerjasama dengan Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Kata beliau, kenyataan Hamzah itu perlu dijadikan amaran agar Anwar berhati-hati dan tidak bertoleransi dengan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang mampu merosakkan kerajaan Anwar.

Beliau melihat ucapan Hamzah di Kelab Concorde pada semalam adalah satu pengakuan bahawa Pas di bawah Presidennya, Hadi Awang akan terus bersembunyi di sebalik PN.

Kelab Concorde ialah forum mengenai isu semasa oleh penceramah terpilih yang dimulakan oleh wartawan veteran.

“Ini kerana Hadi telah menunjukkan bahawa dia adalah pengamal politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang terbesar di Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, PN menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik pada masa depan, termasuk BN supaya dapat mengambil alih Putrajaya.

Dalam siri perbincangan anjuran Kelab Concorde yang diadakan semalam, Hamzah menyatakan keyakinan PN mampu merampas Selangor daripada PH, selain peluang 50-50 untuk merampas Negeri Sembilan.

Hamzah menjangkakan PN mampu mengekalkan kuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu berdasarkan keputusan PRU15, namun mengakui sukar membuat kejutan di Pulau Pinang dengan kekuatan DAP di negeri itu.