PM Anwar terima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Indonesia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto di Langkawi semalam.

“Kami meluangkan masa kira-kira sejam membincangkan isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala dan serantau.

“Moga hubungan dua negara sahabat ini terus teguh dan kuat,” kata Anwar dalam hantarannya di Facebook malam tadi.

Antara isu yang dibincangkan ialah mengenai usaha mengeratkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Prabowo kini dalam lawatan khas ke Malaysia sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) yang bermula semalam hingga 27 Mei.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan delegasi Indonesia.