PM Anwar ucap selamat Thaipusam, seru rakyat kukuhkan perpaduan

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut dan masyarakat Hindu di negara ini.

Perdana Menteri berkata perayaan serta budaya yang pelbagai di Malaysia adalah hujah ampuh untuk rakyat saling kenal dan membina persefahaman tatanan negara bangsa yang majmuk.

“Mari bersama kita mengukuh perpaduan dan kerukunan demi pertiwi tercinta,” kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Masyarakat Hindu menyambut perayaan Thaipusam hari ini dengan membanjiri kuil-kuil utama di ibu negara dan beberapa bandar raya di seluruh negara.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Ia bagi memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan lembing suci kepada anak lelakinya Dewa Murugan bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.