PM: Kerajaan tidak tolak ansur pihak gugat perpaduan kaum

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.

Perdana Menteri berkata parti-parti politik di Semenanjung yang masih bergelut untuk merebut kuasa perlu belajar daripada semangat perpaduan yang ditonjolkan rakyat Sarawak.

“Ada satu hal yang harus dipelajari oleh parti-parti di Semenanjung yang terus bergelut merebut kuasa bahawa belajarlah dari semangat perpaduan yang ditonjolkan rakyat Sarawak.

“Al-Quran menganjurkan untuk kenal mengenal antara satu sama lain dan ini seharusnya menginsafkan kita untuk menghentikan seruan kepada perpecahan antara kaum.

“Kerajaan yang ada pada hari ini tidak akan bertolak ansur sama sekali terhadap sesiapa sahaja yang cuba menggugat perpaduan antara kaum dan agama di negara ini,” tegasnya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Perdana Menteri berkata beliau ada berbincang dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tentang soal kaum, agama dan wilayah yang hangat dibangkitkan terutamanya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Terdahulu Anwar menghadiri majlis makan malam negeri yang dianjurkan kerajaan Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kuching sempena lawatan kerja sulung Perdana Menteri bermula semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketika kempen PRU-15, pemimpin Perikatan Nasional (PN) dilihat mengambil tindakan terdesak apabila memainkan isu agama dan perkauman untuk meraih sokongan rakyat terutamanya pengundi muda.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.

Beliau membuat dakwaan itu ketika berucap dalam program Ceramah Mega PN Best di Parit Jawa, Johor pada Rabu, 16 November lalu sebagai penceramah terakhir pada malam itu selepas Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin bagaimanapun menyatakan ucapannya itu dipetik di luar konteks.

Sebelum ini tular video memaparkan Ketua Pemuda PAS Sik Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan PH akan masuk neraka.

Beliau kemudian menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.

BACA JUGA: Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar