PM perlu ambil serius ancaman bunuh terhadap hakim

Ancaman dan ugutan terhadap hakim-hakim di Malaysia termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara seperti didedahkan oleh Tun Tengku Maimun baru-baru ini perlu diambil tindakan pencegahan yang tegas.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, tidak sewajarnya hakim hakim diperas ugut sehingga tidak bebas dalam menjalankan tugas penghakiman mereka.

Seharusnya, kata beliau Perdana Menteri mengambil tindakan mengarahkan institusi keamanan negara melindungi para hakim.

“Hakim -hakim dan institusi Mahkamah tidak boleh dibenarkan diperasugut oleh mana-mana pihak, sama ada pihak elit berkuasa atau yang telah hilang kuasa atau parti- parti politik atau politikus-politikus yang rakus atau golongan kaya korporat mahupun konglomerat nasional mahupun antarabangsa ataupun penjenayah ala-mafia dan gangster.

“Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat, berasaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan berlandaskan kesamarataan di bawah undang-undang bagi setiap orang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan.

Tegas Hassan, kebebasan badan kehakiman adalah kunci kepada sistem demokrasi terlaksana dengan sempurna di bawah prinsip asas pengasingan kuasa antara 3 Cabang iaitu Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

“Ciri-ciri penting ini ada di Malaysia. Justeru itu keselamatan diri hakim-hakim dan institusi kehakiman amat perlu dijamin dan terpelihara oleh pihak berkuasa Kerajaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan bahawa beliau pernah mendapat ancaman bunuh semasa mengendalikan kes-kes membabitkan tokoh-tokoh dan personaliti tertentu.

“Yang menjadi luar biasa melibatkan tokoh-tokoh tertentu adalah kecaman itu agak luar biasa, saya sendiri pun mendapat ancaman bunuh serius atau tidak itu soal lain.

“Di masa sama kita melihat sokongan begitu luar biasa yang beri sokongan badan kehakiman.

“Untuk itu, saya menyatakan penghargaan kami atas sokongan masyarakat memahami sebenarnya dalam setiap keputusan kita buat,” ujarnya di petik Astro Awani ketika sidang media pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) 9 Januari lalu.

BACA JUGA Wee Ka Siong ‘baling telur sembunyi tangan’