PM10 dan wacana punggah, bolot, gondol kekayaan negara

Ada sesuatu menarik untuk diperhatikan daripada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu fokusnya kepada ahli politik yang memunggah kekayaan negara.

Mungkin juga semasa beliau menyertai sehingga menjawat jawatan Tinbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau telah menyaksikan perkara itu berlaku.

Tiada pemimpin sebelum ini yang baharu dilantik menjadi PM tidak sampai sebulan menyuarakan isu sensitif ini.

Walaupun isu rasuah ditekankan oleh PM lalu tiada fokus kepada pemunggahan kekayaan negara oleh ahli politik.

Malah, sebelum PH-14 dan sebelum menjadi PM, Anwar telah menekankan isu pemunggahan kekayaan oleh ahli politik ini.

Sewaktu Debat Perdana bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu mengenai hala tuju dan masa depan negara, Anwar menyebut mengenainya:

“Saya yakin permulaan ini mesti dengan pengurusan yang lebih baik. Orang mual dengan politik sekarang ini, dengan percaturan politik dan perebutan dan pemunggahan kekayaan dan pimpinan.

“Oleh demikian, harus bawa semula keyakinan baharu untuk nyatakan bahawa politik dan pimpinan tak lain dari taklif, amanah … dan ini dengan membersihkan negara daripada rasuah.”

Semasa pelancaran jentera pilihan raya PRN Johor Februari 2022, Anwar juga ada menyentuh katanya “Pandora Papers senarainya macam mana? Waktu itu (politik) stabil tetapi digunakan untuk punggah kekayaan, bukan sedikit berbilion.”

Ini juga bermakna, Anwar sedang berusaha supaya wang rakyat dikembalikan oleh ahli-ahli politik yang telah kebas duit wang yang berjumlah berbilion ringgit itu.

Lebih ketara lagi pada ucapan amanat tahun baharu 2023, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memunggah kekayaan tanah air.

Menurutnya, tugas menghentikan amalan pemunggahan kekayaan negara ini bukan bermotifkan politik kepartian ketika ramai rakyat berdepan dengan masalah kewangan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun, mengakui sedar bahawa usaha memusatkan perhatian kepada rakyat dan memerangi rasuah bukannya mudah.

“Saya mengajak saudara-saudara selesai pilihan raya, kita harus menguatkan perpaduan… Bersatu itu untuk tujuan yang murni. (Malaysia Dateline, 31 Disember, 2022).

Beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memunggah kekayaan tanah air.

Dalam isu Bernas beliau berkata, “pada masa sama menegaskan kerajaan tidak akan benarkan “pembolotan kekayaan” oleh ahli politik dan kalangan yang dekat dengan mereka dengan “menghisap darah pesawah padi yang miskin”. (Harian Metro, 6 Disember 2022)

Kenyataan Anwar semasa ucapan amanat tahun baharu berkaitan dengan pemunggahan kekayaan negara oleh ahli politik ialah “Selain kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, langkah lain yang harus diambil ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan dengan menjamin bahawa Malaysia ini bukan tempat pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan, bukan mencari helah menerima komisen,” kata beliau.

Bahkan dengan lebih tegas lagi Perdana Menteri menyatakan akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan”.

Beliau sehingga menyebut pihak itu sebagai pernah menjadi “Menteri kewangan” dan “bekas perdana Menteri”.

Selain daripada perkataan pemunggahan kekayaan, Anwar menggantikannya dengan “pembolotan kekayaan” dan “menggondol kekayaan” oleh ahli politik.

Jika diteliti banyak kenyataan Anwar sejak menjadi PM bertumpu kepada kepentingan rakyat dan pembolotan dan pemunggahan kekayaan oleh ahli politik.

Bahkan bukan tujuan membodek, sekiranya tindakan membanteras koruptokrasi (rasuah dalam demokrasi) dalam negara diganyang habis-habisan, tidak keterlaluan jika dikatakan Anwar dalam PM yang melampaui sempadan politik parti dan elit politik.

Tiga perkataan utama yang disebut dalam tidak sampai sebulan menjadi PM ialah memunggah, membolot dan menggondol kekayaan dan perkataan yang digunakan untuk melakukan kerja-kerja ialah “kesempatan” ketika berada dalam kerajaan dan kepimpinan politik yang bererti kuasa.

Ini adalah rasuah besar yang dilakukan pemimpin dan ahli politik ke atas negara. Mereka ini bukan sahaja memunggah kekayaan. Bayangkan, pembolotan mereka sehingga mengondolkan kekayaan negara selama ini.

Bagaimana cara dan kaedahnya, rasanya pembaca lebih mengetahuinya. Ini ada kaitanya dengan istilah kleptokrasi iaitu negara yang dikuasai oleh perasuah yang merupakan pemunggah dan pembolot kekayaan negara.

Mereka adalah penggondol kekayaan negara, mengambil kesempatan daripada kedudukan dan jawatan yang mereka pegang.

Tiada pemimpin politik yang berani membuat kenyatan seperti ini. Bahkan, sehingga artikel ini ditulis tiada pemimpin Kerajaan Perpaduan, mahukan gabungannya membuat kenyataan susulan juga apa lagi untuk pemimpin pembangkang menyatakan sokongan di atas kenyataan Anwar yang bernada tegas itu.

Kajian akademik belum dilakukan secara spesifik dan ini adalah penelitian awal saya terhadap fokus Anwar sejak baru menjadi PM. Akan disambung!

*Kolumnis adalah pemerhati kritikal isu-isu dalam dan luar negara. 

Baca juga Bantuan awal RM1,000 kepada tiga keluarga mangsa kebakaran