PN tidak mampu gugat gabungan Perpaduan di PRK Pulai, Simpang Jeram

PN tidak mampu gugat gabungan Perpaduan di PRK Pulai, Simpang Jeram

Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menggugat kedudukan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) di Johor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini kerana ia merupakan gabungan yang sangat hebat.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan, Johor adalah negeri yang menjadi kubu kuat kepada Umno.

Mahfuz Omar

“PH pula mempunyai kekuatan yang berada sedikit bawah daripada Umno-BN. Jadi saya percaya ini adalah satu gabungan yang sangat hebat.

“Ditambah pula dengan keadaan kedudukan budaya orang Johor yang dikenali sebagai bangsa Johor, iaitu bangsa yang diteraskan oleh sepakat dan muafakat dalam kalangan masyarakat Johor.

“Sebab itu satu ketika dahulu, kalau kita lihat kesepakatan dan muafakat mereka itu bersama dengan Umno dan Umno dilahirkan di Istana Johor.

“Jadi, saya tidak nampak yang PN mampu menggugatkan kedudukan PH-BN, apatah lagi dalam situasi dan keadaan yang pergi meninggalkan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram itu adalah seorang anak Johor yang sangat disayangi oleh masyarakat di sana,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Suhaizan Kayat calon Perpaduan dalam PRK Pulai.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang kemampuan parti pembangkang iaitu PN untuk memberi cabaran kepada gabungan Perpaduan pada PRK yang akan diadakan 9 September nanti.

Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman

PRK di kedua-dua kerusi berkenaan diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Di Parlimen Pulai, gabungan Perpaduan meletakkan calon PH daripada AMANAH, Suhaizan Kaiat yang akan berdepan saingan tiga penjuru.

Beliau yang juga bekas Speaker DUN Johor akan bertempur dengan calon PN, Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan calon Bebas, Samsuddin Mohd Fauzi.

DUN Simpang Jeram pula akan menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman yang akan berdepan dengan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jeganathan.

BACA JUGA Suhaizan berdepan tiga penjuru di PRK Pulai

COMMENTS

Wordpress (0)