
Chegu Bard ditangkap selepas gagal bagi kerjasama enam kes
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penahanan ke atas Chegu Bard, malam ini disebabkan aktivis pembangkang itu gagal menghadirkan diri selepas dipanggil polis berkaitan siasatan kes lain.
Menurutnya, sebelum ini Bukit Aman telah memanggil Badrul Hisham Shaharin berhubung enam laporan polis yang dibuat terhadap kenyataannya.
Namun, jelasnya, Chegu Bard memberikan alasan dan gagal memenuhi panggilan polis untuk siasatan apabila dipanggil.
Walhal, kata beliau, bekas-bekas Perdana Menteri sendiri boleh memberi kerjasama penuh untuk proses rakaman percakapan dalam sesuatu siasatan.
“Antara siasatan yang dijalankan adalah berkaitan isu Ambalat, iaitu mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
“Antara siasatan kes lain adalah seperti pendedahan harta yang dimiliki Anwar Ibrahim menerusi aplikasi Tik Tok milik Badrul serta pembocoran dokumen sebuah jabatan kerajaan,” jelasnya.
Mohd Shuhaily berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Beliau memberitahu polis telah beberapa kali memanggil Chegu Bard untuk rakaman percakapan tetapi beliau gagal hadir membantu siasatan termasuk mengemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tiada pilihan dan memohon waran tangkap terhadap beliau berhubung kes-kes yang dilaporkan sebelum ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau, sidang media dibuat bagi mengelak sebarang spekulasi terhadap tangkapan Chegu Bard yang tiada kaitan dengan penganjuran perhimpunan Sabtu ini.
BACA JUGA Chegubard, Wan Saiful, Raggie Jessy didakwa fitnah PM Anwar