Polis siasat Mahathir kes kenyataan berunsur hina institusi diraja

Polis siasat Mahathir kes kenyataan berunsur hina institusi diraja

Polis sedang menjalankan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bekas Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berkenaan dirakam keterangan bagi membantu siasatan, semalam.

“Siasatan dijalankan ke atas Dr Mahathir berhubung kenyataan beliau yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja, yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lalu.

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Dalam masa sama, Shuhaily memberitahu, USJT turut mengambil keterangan Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan yang masih berjalan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.

“Elak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama membabitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja),” katanya.

Terdahulu, Bukit Aman dilaporkan sekali lagi merakam percakapan Mahathir berhubung kenyataan bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkenaan sebelum ini mengenai proklamasi orang Melayu.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang juga Ketua Penerangan Pejuang dalam satu rakaman video memaklumkan proses itu dijalankan di Yayasan Albukhary selama kira-kira jam 30 minit bermula jam 3 petang semalam.

Pada 2 Jun lalu, USJT merakam keterangan Mahathir berhubung kenyataan beliau yang didakwa berunsur penghinaan berkaitan institusi diraja serta proklamasi orang Melayu.

BACA JUGA Proklamasi Melayu dah menyepi, adakah Mahathir akan sertai Pas?

COMMENTS

Wordpress (0)