Polis tangkap dua lelaki hina institusi diraja

Polis tangkap dua lelaki hina institusi diraja

Polis telah membuat tangkapan secara berasingan terhadap dua lelaki semalam kerana telah memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek pertama dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook Flat Earth Malaysia berusia 41 tahun.

Suspek berkenaan, jelasnya, ditangkap di Kampung Sungai Kati, Ipoh berhubung hantaran yang berbaur penghinaan terhadap institusi diraja Johor.

Sementara itu, suspek kedua, kata beliau, dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook, Iman Mustaqim berusia 47 tahun.

Menurut Mohd Shuhaily, suspek itu ditangkap di kawasan Langkap kerana memuat naik hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama tiga hari mulai hari ini hingga 2 September.

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D6, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tegasnya, polis menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.

Tambahnya, orang ramai perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

BACA JUGA Presiden Pas sah sedang disiasat polis isu 3R

COMMENTS

Wordpress (0)