Politik Kedah menjelang PRN 2023

Kedah yang mempunyai sejumlah 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) merupakan salah satu negeri yang banyak menyaksikan pilihan raya negeri (PRN) tahun ini. Pilihan raya di negeri ini menarik kerana ia disasarkan oleh Pakatan Harapan.

Pimpinan kanan Pakatan Harapan mempunyai keyakinan 50/50 untuk memenangi dan seterusnya membentuk kerajaan di sini. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga pemimpin PAS dalam Perikatan Nasional yakin pakatannya boleh memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN.

Apakah sumber keyakinan beliau sehingga beliau begitu gah dalam menyatakan boleh menang 91.6% kerusi DUN? Data, dalil atau mimpi siang? Wallahua’lam beeshawab, itu kita tidak ketahui. Meskipun kerajaan negeri ini diterajui oleh PAS, negeri ini bukan kubu kuat PAS seperti di Kelantan.

Mungkin Sanusi percaya keadaan yang diperolehi semasa PRU15 masih boleh digunakan untuk mengekalkan Kedah di bawah pentadbiran PAS. Para pendukung menggelar keadaan itu sebagai gelombang hijau.

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Mahfuz Omar pula yakin momentum tersebut bersebut berlaku dalam keadaan pengundi berada dalam keadaan terpukau atau “hypnotised”.

Bekas ahli Umno Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Mohd Yassin pula merasakan pengundi Melayu termasuk di Kedah mengundi PAS dan PN kerana tiada pilihan.

Menurut beliau di dalam sesi Twitter Space pada 8 Januari, BN digambarkan sebagai perompak oleh PH. PH dikaitkan dengan perkara seperti komunis, ancaman terhadap Melayu dan Islam dan sebagainya.

Dalam keadaan pengundi Melayu termakan dengan momokan tersebut maka mereka telah mengundi PN.

Negeri jelapang padi ini dalam bahasa sains politik tergolong dalam kategori ‘swing state’ iaitu negeri yang sering bertukar parti pemerintah.

Sejak tahun 1948 hingga 2008, Kedah diperintah oleh pimpinan Umno di bawah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional.

Kali pertama Pas memegang pucuk pimpinan ialah dalam bulan Mac 2018. Adun Pas yang menjadi menteri besar ketika itu ialah (allahyarham) Tan Sri Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Ketika itu Pas berada dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Azizan menjadi menteri besar ke-12 negeri Kedah dan mewakili DUN Sungai Limau. Selepas sepenggal Kedah beralih kepada Umno. Mukhriz Mahathir mewakili DUN Ayer Hitam dan menjadi Menteri Besar pada 2013.

Krisis politik Umno yang melanda menyebabkan Mukhriz terpaksa meletakkan jawatan pada 3 Feb 2016 2016 dan jawatan nombor satu tersebut diambil alih oleh Ahmad Bashah Md Hanipah yang mewakili DUN Bakar Bata.

Pada PRU seterusnya pada tahun 2018 Mukhriz kembali menerajui kerajaan Kedah setelah menang di bawah payung parti Bersatu di dalam Pakatan Harapan. Namun beliau terpaksa meletakkan selepas hilang sokongan majoriti anggota DUN.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Adun Jeneri yang sering mengundang kontroversi menjadi Menteri Besar Kedah sejak Mei 2020.