Populariti kerajaan banyak terbeban pada PM Anwar

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berpendapat populariti Kerajaan Perpaduan banyak terbeban hanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dua lagi timbalan perdana menteri termasuk menteri-menteri di dalam kerajaan dilihat agak tenggelam dan banyak bergantung pada imej Anwar untuk mengangkat Kerajaan Perpaduan.

Ini berdasarkan kajian pendapat awam oleh Endeavour-MGC di mana Anwar yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu merupakan pilihan tertinggi sebagai individu paling sesuai menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Apa yang saya faham, populariti kerajaan ini amat terbeban kepada PM seorang. Seakan-akan begitulah. Dan bagi saya imej timbalan perdana menteri pun juga seakan-akan agak tenggelam dalan konteks sekarang.

“Oleh kerana media telah memberikan sorotan, ‘highlights’ kepada Perdana Menteri bergerak ke sana sini dengan program dari pagi sampai ke malam, sudah tentulah hebahan itu lebih jadi tumpuan kepada rakyat berbanding TPM mahupun menteri yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Berani Jawab: Menteri Tak Perform Wajib Ditukar, Anwar akan Rombak Kabinet?, di laman Facebook NextStep Malaysia kelmarin.

Dalam kajian didedahkan Endeavour, 46 peratus responden dari semua kaum dan 32 peratus responden Melayu didapati mahu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan memimpin negara untuk tempoh sekarang.

Pilihan kedua ialah Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dengan 25 peratus responden Melayu dan 17 peratus responden semua kaum berpendapat bekas Perdana Menteri itu masih layak menjadi Perdana Menteri.

Hisomuddin menambah, menteri perlu memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan media untuk mengangkat agenda kementerian masing-masing.

Beliau juga memberi teguran kepada pegawai-pegawai media supaya sentiasa menasihati dan memantau tindak tanduk menteri masing-masing agar tidak melakukan hal yang boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

“Malahan di kementerian, mereka mempunyai perbelanjaan media yang dibelanjakan untuk mengangkat menteri berkenaan.

“Jadi, kalaulah berjuta ringgit yang diperuntukkan itu tidak diterjemah kepada bentuk sokongan, bagi saya itu adalah masalah.

“Jadi, kepada pegawai menteri yang dikelilingi menteri, bayangkan bos kita diperuntukkan wang begitu banyak tapi gagal untuk menempatkan diri dalam konteks popular itu, itu akan beri masalah pada kementerian berkenaan,” katanya lagi.

BACA JUGA Anwar: Tawaran bukan daripada saya mahupun pimpinan kerajaan