PRK Pelangai: Lokman yakin calon BN dipilih semula

PRK Pelangai: Lokman yakin calon BN dipilih semula

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam diyakini akan menjadi pilihan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong, Pahang.

Keyakinan itu dizahirkan Pengarah Komunikasi Umno Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan di DUN berkenaan.

Beliau menyifatkan, rakyat Pahang dijaga dengan baik di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

“Kerjasama antara BN-PH Pahang juga dilihat semakin kukuh.

“Maka, saya yakin orang Pelangai akan memastikan calon daripada BN akan dipilih semula nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu poster digital yang dimuat naik di Facebooknya, sebentar tadi.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon BN bagi menghadapi PRK DUN Pelangai.

Beliau bakal berdepan Kasim Samat atau dikenali Cikgu Kasim apabila Naib Yang Dipertua Pas Bentong itu, sekali lagi dipilih bertanding di kerusi tersebut selepas kalah pada Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU15).

Selain Kasim, beberapa individu lain diuar-uarkan akan bertanding sebagai calon bebas.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia.

Allahyarham Johari terlibat dalam nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Esok adalah hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 3 Oktober sebagai hari pengundian awal.

Hari rakyat Pelangai membuat penentuan adalah 7 Oktober.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )