PRN: AMANAH intai tambahan dua kerusi di Selangor, pertahan kawasan sedia ada

AMANAH mengintai dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor selain kekal bertanding di 10 kawasan seperti tahun 2018, kata Pengarah Mobilisasinya Mohd Sany Hamzan.

Wakil rakyat Taman Templer itu berkata Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor sudah mengadakan beberapa perjumpaan bagi rundingan pembahagian kerusi.

“Kemungkinan besar dan besar harapan kita agar AMANAH mempertahankan 10 kerusi dan kalau boleh diberikan satu atau dua kerusi tambahan lagi.

“Saya rasa kita (AMANAH) mampu menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita dalam PRN,” katanya dipetik menerusi Youtube The Malaysian Insight.

Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata proses rundingan kerusi  masih lagi di peringkat perbincangan sebelum dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat negeri dan Pusat.

“Kerusi yang PH menang kita akan bertanding di kerusi tersebut manakala kerusi yang UMNO/BN menang, mereka akan bertanding di kerusi tersebut,” katanya.

Tambah beliau perbincangan lanjut akan ditumpukan bagi kerusi yang dimenangi oleh BERSATU dan PAS untuk diselesaikan.

Mohd Sany berkata fokus utama adalah dengan memberikan tumpuan kepada kesemua 56 kerusi yang bakal ditandingi oleh PH dan BN di Selangor.

Menurutnya jentera pilihan raya kini berada pada tahap bersedia untuk menghadapi PRN yang dijangka diadakan sekitar bulan Jun atau Julai nanti.

Pada 26 Februari lalu, Pengarah Komunikasi PH, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN antara PH, BN dan parti lain dalam kerajaan akan diumum sebelum hujung bulan ini.

Katanya rundingan berjalan lancar di setiap negeri hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, AMANAH bertanding di atas tiket PKR di Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Taman Templer, Hulu Kelang, Pandan Indah, Sungai Ramal, Seri Serdang, Meru dan Morib.

Parti itu menang di kerusi terbabit kecuali Sungai Panjang dan Hulu Bernam yang dikuasai BN.

BERSATU yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi enam kerusi manakala Pas hanya memenangi satu kerusi iaitu Sijangkang.

BN pula hanya memenangi empat daripada 56 kerusi dipertandingkan ketika itu.

BACA JUGA: Dewan Rakyat kecoh, Shahidan samakan Sany dengan ‘kera di hutan’