PRN: ‘Kalau tak langgar prinsip, tak timbul soal kecil hati’

Tidak timbul soal berkecil hati dalam politik jika pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri berdasarkan prinsip yang dipersetujui bersama.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata antara prinsip dan parameter yang dipersetujui itu ialah kerusi yang dimenangi oleh parti tertentu akan terus ditandingi parti yang sama dalam PRN akan datang.

“Pucuk pimpinan parti masing-masing akan memahami keadaan ini, kita bercakap atas beberapa prinsip dan parameter.

“Jadi, kalau tak langgar beberapa prinsip itu, tidak menjadi masalah dan tidak timbul soal kecil hati,” katanya selepas merasmikan Pemukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan, di Seremban, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, semua pihak perlu berlapang dada untuk sebarang keputusan yang akan diputuskan pimpinan pusat.

“Apabila kita memasuki apa-apa rundingan kerusi sudah tentu ada parameter, ada prinsip yang mesti dipersetujui iaitu kerusi penyandang akan terus disandang parti yang menang.

“Contohnya, kalau kerusi itu dimenangi BN, takkan kita nak minta. Sudah tentu akan menimbulkan masalah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, PH dan BN akan berunding bagi kerusi DUN yang tidak dimenangi mana-mana parti sebelum ini.

“Di Kedah, Terengganu dan Kelantan, sudah tentu kena berunding antara PH dan BN. Itu dipersetujui,” katanya lagi.

 

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: PN tiada kekuatan luar biasa