PRN: Kertas undi nanti tiada logo UMNO, DAP

Tiada logo UMNO atau DAP pada kertas undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan di enam negeri nanti,  kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata hanya dua gabungan besar yang akan bertanding pada pilihan raya negeri iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menentang Perikatan Nasional (PN).

“Saya cuma nak jelaskan kepada pengundi di luar sana bahawa tiada logo UMNO atau logo DAP dalam pilihan raya negeri akan datang kerana kita bertanding sebagai satu kumpulan di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan di Kompleks Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 sebelum ini dilaporkan meminta ahli UMNO mengundi calon DAP di kawasan masing-masing pada pilihan raya akan datang bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan terlibat dalam pilihan raya negeri akan datang.

BACA JUGA: Saranan Umno sokong DAP gambaran kerjasama Kerajaan Perpaduan makin kukuh