PRN Negeri Sembilan: Jentera parti diperkukuh selaras naratif Kerajaan Perpaduan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan kini giat memperkukuhkan jentera pilihan raya di peringkat akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

Ketuanya, Mohd Hanis Alimin berkata, sayap blok kerajaan itu mempunyai struktur yang lengkap dan mampu bekerjasama dengan baik, seiring dengan semangat anak muda.

“Kami mahu dilihat sebagai satu pakatan yang mampu membawa suara anak muda. Persiapan jentera merangkumi menyantuni golongan belia dan memperkukuh kerjasama selari dengan naratif politik Kerajaan Perpaduan demi kebaikan masyarakat dan kebajikan anak muda khasnya.

“Persiapannya adalah dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang diminati oleh anak muda, selain menyelami kehendak dan masalah mereka untuk dibawa kepada pihak yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai persiapan Pemuda PH negeri, termasuk kemungkinan meletakkan calon dalam saingan PRN kali ini.

Tambah Mohd Hanis yang juga Ketua Pemuda AMANAH negeri, mereka turut menyasarkan untuk mendekati golongan belia bagi menyampaikan maklumat dan memperkenalkan inisiatif kerajaan negeri.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

BACA JUGA Bantuan zakat untuk pendidikan, kebajikan di N Sembilan cecah RM8.5 juta