PRN Negeri Sembilan: PH wajib pertahankan kemenangan 20 kerusi

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan wajar mengekalkan kemenangan di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Besar (MB), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kemenangan itu wajib diperolehi bagi memastikan manfaat yang diperolehi rakyat daripada kerajaan negeri terus berkekalan.

“Saya minta kepada semua jentera kompenan parti untuk memastikan kemenangan PH di 20 kerusi (DUN).

“Kita kena bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan agar segala inisiatif dan pelan yang kita usaha selama ini dapat dikekalkan,” katanya dalam Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-21 di Klana Resort, Seremban.

Turut hadir, Pengerusi DAP negeri Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

PH Negeri Sembilan bertekad akan kekalkan 20 kerusi DUN dalam PRN akan datang

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan turut memaklumkan tarikh pembubaran melibatkan 6 buah negeri akan diperinci pada minggu hadapan.

Dalam hal yang lain, beliau menekankan agar semangat kesatuan dalam kalangan ahli parti diperhebat dan meletakkan agenda rakyat sebagai matlamat utama.

“Mana-mana individu yang tidak menjadi calon, tidak perlu kecewa sebaliknya perlu akur pada keputusan parti.

“Justeru, individu tersebut, harus menunjukkan sokongan pada parti kerana kita perlu tahu keutamaan rakyat adalah matlamat besar kita,” ujarnya lagi.

Terdahulu, MB memberi bayangan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan.

Selain Negeri Sembilan lima negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang bakal membuka laluan kepada PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

BACA JUGA Jelajah Menu Rahmah Pahang: Ringankan kos sara hidup rakyat