PRN Negeri Sembilan: PN tiada kekuatan luar biasa

Perikatan Nasional (PN) disifatkan tiada kekuatan yang luar biasa untuk menumpaskan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, blok pembangkang itu tiada kekuatan luar biasa berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Kalau kita lihat pada keputusan PRU yang lepas, tidaklah bermakna mereka itu (PN) mempunyai kekuatan untuk menumpaskan PH.

“Dalam konteks Negeri Sembilan, ia tidak menunjukkan sebarang kekuatan yang luar biasa daripada parti mereka.

“Kita tak nampak (kekuatan) tersebut,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya tentang pandangannya untuk berdepan dengan parti lawan iaitu PN pada PRN di negeri Adat Perpatih itu nanti.

Bagaimanapun, Mohamad Rafie yang juga Exco Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan berpendapat, keadaan politik pada ketika ini juga tidak boleh diambil mudah.

Namun katanya, gabungan antara PH dan Barisan Nasional (BN) akan menjadi faktor kepada kedudukan sesuatu parti politik itu, menjadi lebih baik.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada PRU15 yang lalu.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu, berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA Negeri Sembilan aman sebab tiada Pas, Bersatu