PRN Negeri Sembilan: Program ramah mesra rakyat pikat pengundi atas pagar

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu memikat hati pengundi atas pagar melalui program ramah mesra rakyat.

Ketuanya, Afif Anuar berkata, melalui pendekatan itu, Pakatan Harapan (PH) boleh menarik sokongan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Buat masa sekarang, kami mengumpul kekuatan untuk membuat agenda yang terus kepada rakyat terutamanya program anak muda.

“Saya fikir, pendekatan turun padang mesti dipergiatkan seperti program ramah mesra antara kerajaan negeri dan masyarakat tempatan.

“Program seperti ini memang sangat membantu penduduk luar bandar, untuk faham dengan pelan yang dibuat oleh kerajaan negeri,” ujarnya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Afif (dua kanan) ketika mengagihkan sumbangan bantuan mangsa banjir di Dungun, Terengganu.

Berhubung penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan bagi memberi tumpuan terhadap PRN, Afif berkata, pihaknya bersedia untuk menerima apa-apa arahan melibatkan kerjasama PH-BN dalam PRN nanti.

“Setakat ini, kita masih menunggu keputusan (kerjasama PH-BN) daripada pimpinan pusat Keadilan.

“Bagi saya, kami akur sahaja dengan ketetapan parti, di peringkat ahli, kami tiada masalah.

“Cumanya dari segi penyokong, kita perlu memberi penerangan awal supaya mereka boleh memberi sokongan kepada PH ataupun BN,” tambahnya.

Kelmarin, selain Jawatankuasa Pilihan Raya, mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Strategi serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.

Penubuhan jawatankuasa terbabit berperanan untuk memberi pandangan mengenai dasar kerajaan dan isu berkaitan pilihan raya serta strategi bagi kestabilan suhu politik dan ekonomi negara.