PRN: Pakatan Harapan yakin agihan kerusi dengan BN berjalan lancar

Pakatan Harapan (PH) masih belum memutuskan secara rasmi berkaitan pengagihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dikatakan akan diadakan menjelang Jun ini.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata pihaknya yakin proses kerjasama melibatkan BN akan berjalan lancar menjelang PRN nanti.

“Setakat ini belum lagi perbincangan itu dibuat (agihan kerusi), tetapi saya percaya kompenan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan memutuskannya.

“Saya yakin prosesnya rundingan akan berjalan dengan baik. Bila tiba masanya nanti kita akan umum,” ujarnya selepas merasmikan Program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Bangsar pada Isnin.

Kepada soalan menggenai kenyataan bekas pemimpin UMNO Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaludin Abu Bakar yang mendakwa BN sukar untuk memenangi kerusi dalam PRN nanti, Fahmi berkata;

“Mungkin bila mereka dah tiada dalam parti itu, peluang bagi UMNO untuk menang (PRN) lebih cerah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Pada 28 Januari lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan pemecatan Noh dan Khairy.

BACA JUGA: PRN: Salahuddin optimis PH akan kekal di Selangor