PRN: PH Terengganu sedia kerjasama BN

Pakatan Harapan (PH) Terengganu akan berbincang dengan Barisan Nasional (BN) negeri bagi membentuk satu kerjasama dan persefahaman daripada segi pentadbiran di negeri itu.

Ketua Pemuda PH Terengganu, Mohd Hasbie Muda, berkata pimpinan bagi kedua-dua parti akan bertemu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Masih ada rundingan di kalangan parti PH (PKR dan AMANAH) dan ada juga perbincangan dengan parti BN untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Saya difahamkan pertemuan dengan kepimpinan PH dan BN akan diadakan dalam masa terdekat untuk negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Walaubagaimanapun, katanya, proses kerjasama antara PH dan BN menjelang PRN di Terengganu hanya akan diketahui selepas kedua-dua pihak membuat keputusan.

Kelmarin, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat antara gabungan itu dengan BN untuk menghadapi PRN.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut berkata, beliau bagaimanapun tidak menghalang pimpinan peringkat negeri mengadakan perbincangan berhubung pembahagian kerusi antara kedua-dua parti gabungan itu.

Mengulas lanjut, Hasbie menambah, daripada sudut persiapan, PH Terengganu akan mempersiapkan jentera menghadapi PRN yang dijangka berlaku tahun ini.

“Sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, jentera sudah wujud tetapi perlu terus dimantapkan.

“Jentera di peringkat negeri dan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) tiada masalah tetapi jentera di peringkat Daerah Mengundi (DM) sedang diperkasakan lagi,” ujarnya.

Pada PRU15 lalu, Pas memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Terengganu.

Daripada segi kedudukan DUN ketika ini pula, 22 kerusi adalah milik Pas, manakala 10 kerusi dimenangi wakil BN daripada keseluruhan 32 kerusi pada PRU14.