PRN: Salahuddin optimis PH akan kekal di Selangor

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Salahuddin Ayub optimis Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun pada masa sama Ahli Parlimen Pulai itu mengingatkan bahawa keupayaan musuh juga tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, beliau yakin dan percaya PH mampu untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor biar pun mungkin kerusi yang dimenangi sedikit berkurangan berbanding pilihanraya terdahulu.

“Namun begitu, kita tidak boleh memandang sepi tentang kebolehan pihak musuh. Saya optimis (untuk kemenangan) tapi jangan senang hati.

“Peluang tetap ada kerana kita mempunyai kerajaan dan kita kukuhkan PH, kuatkan kerjasama kita dalam Kerajaan Perpaduan, itu formula kita.

“Saya rasa yang penting sekarang ini adalah mula menggerakan jentera pilihan raya PH,” katanya kepada Harapan Daily ketika diminta mengulas mengenai PRN yang bakal diadakan nanti.

DS Salahuddin merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang

Salahuddin ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang pada Sabtu.

Terdahulu, beliau merasmikan dua acara di lokasi sama, iaitu Majlis Hari Bertemu Pelanggan Bersama Agensi-Agensi Kerajaan Masyarakat Madani Sepang dan juga perasmian Pusat Khidmat Rakyat, Parlimen Sepang.

BACA JUGA Pahang-Selangor rintis kerjasama pengurusan kualiti air mentah, perhutanan