PRN serentak elak kempen ‘panas’ berterusan

Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak di enam negeri dapat mengelak kempen ‘panas’ berterusan selain menjimatkan kos, masa dan tenaga petugas.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, menasihati supaya semua parti politik di negara ini menilai kelebihan mengadakan PRN serentak.

“Lihatlah secara menyeluruh kebaikan mengadakan PRN serentak kerana tak banyak untung dan tak banyak ruginya kepada parti politik.

“Malah, rakyat selaku pengundi sudah memahami segala manifesto, janji dan perkara yang akan ditimbulkan ketika berkempen,” dipetik BH.

Beliau berpendapat jika PRN diadakan berasingan, suhu politik yang berpanjangan akan menyebabkan keharmonian rakyat dan memberi kesan kepada tumpuan negara dalam pemulihan ekonomi.

Enam negeri bakal berdepan PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Kesemua negeri terbabit tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Tambah Wan Ahmad, soal parti politik perlu berkempen supaya meraih undi lebih tidak lagi relevan memandangkan rakyat sudah mengenali parti politik yang terbabit dalam PRN nanti selain baru sahaja mengadakan PRU15.