Program besar-besaran selesai masalah air di Kelantan, Sabah – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha untuk menoktahkan masalah air di Kelantan dan Sabah dilaksanakan dalam tahun ini juga.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak mempunyai alasan untuk tidak menyelesaikan masalah utama rakyat itu memandangkan negara sudah berada dalam tahun 2023.

“Tidak ada alasan untuk kerajaan 2023 tidak memulakan program besar-besaran selesaikan once and for all masalah air di negeri ini.

“Tidak kira mereka perlukan pinjaman sama ada bentuk bon, sukuk itu masalah kita (Kerajan Pusat) jangan bebankan kepada rakyat,” katanya.

Beliau memberikan jaminan tersebut ketika menyampaikan Amanat Perdana dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam tempoh dua minggu, pihaknya akan mengundang Menteri Besar Kelantan dan Sabah serta pasukan terbabit untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Jelasnya, usaha tersebut mesti dilakukan walaupun bakal menelan belanja berbilion ringgit.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, langkah yang diambil oleh Kerajaan Madani itu bukannya digunakan sebagai modal politik untuk menarik undi rakyat di negeri Pantai Timur tersebut.

“Saya juga telah persembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa ini tidak ada kena mengena sama ada PRN atau tidak, ia masalah kedua.

“Apa yang lebih penting sekarang adalah isu rakyat yang masih lagi tidak mendapat kemudahan air bersih walaupun 63 tahun kita merdeka,” tegas Anwar.

Jelasnya, hasrat tersebut menunjukkan komitmen gabungan kerajaan itu dalam menunaikan hasrat dan janji kepada rakyat.

“Kita komited untuk menunaikan janji dan ia harus diselesaikan sekarang tanpa ditangguh hingga ke tahun hadapan.

“Projek besar kita boleh tangguh tapi bukan isu air, sekolah daif dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar tidak menjelaskan secara jelas berkaitan masalah air di Kedah.

Beliau menjelaskan berbeza dengan Kelantan yang ditadbir oleh Pas telah menunjukkan sikap bersedia untuk berunding dengan kerajaan Pusat membabitkan urusan pembangunan di negeri itu.

“Sekurangnya Menteri Kelantan boleh dirunding dengan baik maka kita dua kali lebih baik. Bagi orang yang angkuh dan sombong tinggalah kamu dengan kesombongan itu,” jelas Anwar.

BACA JUGA: PM Anwar ‘salute’ 148 Ahli Parlimen, 19 parti bentuk kerajaan stabil