
Program guna senjata mainan tidak termasuk dalam Minggu Solidariti Palestin
Program melibatkan senjata mainan di sebuah sekolah, seperti yang tular di media sosial semalam, tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, program tersebut sama sekali tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ingin saya tegaskan Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik murid-murid dengan nilai kemanusian, merangkumi hak asasi manusia, keamanaan, keharmonian dan kedamaian sejagat.
“Justeru, KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme, radikalisme dan keganasan.
“Apatah lagi dengan penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi yang tak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam satu video di laman Facebooknya semalam.
Sebelum ini, tular gambar sejumlah murid sekolah rendah memegang senjata berupa senapang dan mesingan mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin.
Mereka turut mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin. Malah, dalam satu klip video ada guru melakonkan aksi seperti tentera Palestin menghunus ‘senjata’.
Susulan itu, banyak pihak mengecam tindakan guru sekolah terbabit yang dilihat tidak sensitif terhadap pendedahan unsur keganasan dalam kalangan kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM menggalakkan kegiatan seperti sayembara puisi, pertandingan melukis poster bertemakan kedamaian serta munajat dan sembahyang hajat bagi murid beragama Islam di sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
Untuk rekod, Minggu Solidariti Palestin dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober hingga 3 November depan.
BACA JUGA Tiada paksaan sekolah anjurkan Minggu Solidariti Palestin