Program Jualan Rahmah Beras untuk bantu rakyat terjejas

Program Jualan Rahmah Beras untuk bantu rakyat terjejas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melancarkan program Jualan Rahmah Beras untuk membantu rakyat yang terjejas kerana kenaikan harga beras.

“Tunggu esok, kita lancar Jualan Rahmah Beras. Rakyat akan dapat beras dengan harga diskaun subsidi oleh kerajaan di bawah KPDN,” kata timbalannya Fuziah Salleh ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mekanisme program tersebut akan diumumkan kemudian.

Ini kerana beras berada di bawah kawalan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Sebenarnya berkenaan kawal selia padi dan beras, kita semua tahu ia berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) daripada A sampai Z.

“Beras adalah barang kawalan, KPDN tidak ada punca kuasa untuk mengawalnya, harga pun kita tidak ada kuasa (untuk kawal), tetapi setiap hari kita mendengar rintihan rakyat, ada yang merayu. Saya juga mendengar rintihan Ahli Parlimen yang mewakili rakyat.

“Jadi, KPDN cuba mencari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada usaha menyorok beras beliau berkata Lembaga Kawal Selia Beras mempunyai beberapa ratus pegawai penguatkuasa berbanding dengan KPDN yang mempunyai beberapa ribu pegawai penguatkuasa.

 

COMMENTS

Wordpress (0)