Program Teater Bahasa Melayu murid SJKC disokong KPM

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menyambut baik program Pertandingan Teater Bahasa Melayu dalam kalangan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini.

Beliau berkata, program seperti itu mampu menggalakkan pelajar untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul, indah, dan santai namun sarat dengan nilai-nilai murni dan teladan.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan membolehkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa komunikasi utama dalam kalangan pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pertandingan tersebut.

“Saya difahamkan pertandingan ini mengkehendaki setiap kumpulan teater yang bertanding mengadaptasi cerita daripada Hikayat Tiga Negara yang merupakan karya agung kesusasteraan Cina yang begitu tinggi nilainya.

“Ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa elemen pemupukan bahasa kebangsaan kepada masyarakat tidak hanya tertumpu pada aktiviti berbentuk ilmiah semata-mata.

“Penghayatan elemen kesenian melalui bahasa kebangsaan diharapkan dapat menjadi faktor penarik kepada generasi muda untuk meningkatkan kecintaan dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan semua pihak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) khususnya,” katanya ketika merasmikan Program Pertandingan Teater SJKC hari ini.

Sementara itu, Lim menegaskan agar pertandingan tersebut tidak berakhir di situ sahaja, sebaliknya hasil daripada pementasan pertandingan teater berkenaan perlu disebar luaskan melalui pelbagai saluran bagi memastikan khazanah serta keindahan bahasa, seni dan budaya yang dipaparkan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Program pertandingan tersebut juga, katanya, dapat menjadi wahana bagi mewujudkan sikap megah bahasa dalam kalangan murid SJKC, guru, pentadbir sekolah serta pihak Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

“Program berbentuk silang budaya amat penting untuk meningkatkan kefahaman, rasa hormat-menghormati, dan saling menghargai antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Sehubungan dengan itu, saya sentiasa menyokong dan mendukung program ini yang bertepatan dengan tujuh teras utama dalam memperkasakan pendidikan negara yang menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan Malaysia pada masa kini.

“Program ini bertepatan dengan teras kelima iaitu Penekanan Aspek Karamah Insaniah, yang bermatlamat bagi pembinaan sahsiah, akhlak mulia dan keperibadian serta jati diri murid,” katanya lagi.

BACA JUGA Wanita PKR Selangor gerak misi bantuan banjir ke Terengganu