
Projek Jana Wibawa: Pemimpin Bersatu akan didakwa lagi minggu depan
Seorang pemimpin Bersatu akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu hadapan atas pertuduhan berhubung Projek Jana Wibawa yang menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram.
Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad berdepan lima pertuduhan rasuah berhubung projek kontroversi itu di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussin hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Farah Yasmin Salleh semasa sebutan kes Adam Radlan, 42.
“Pada tarikh sebutan lepas, pihak pendakwaan memaklumkan ingin memindahkan kes di mahkamah ini ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14 (di hadapan Hakim Suzana), namun terdapat perkembangan baharu iaitu pada 25 Okt lepas, tertuduh telah didakwa dengan kesalahan di bawah Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Pihak pendakwaan juga akan menuduh OKT (Adam Radlan) dengan kesalahan AMLATFPUAA di Shah Alam pada minggu hadapan.
“Oleh itu pendakwaan mohon satu tarikh baharu untuk permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14, iaitu setelah pertuduhan di Shah Alam selesai,” kata Mohd Fadhly, lapor Bernama.
Adam Radlan turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan setengah juta ringgit daripada individu sama (Mat Jusoh) sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 November 2021.
Pada 28 Februari lalu, dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pada 25 Oktober lalu pula, Adam Radlan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, dua tahun lepas mengikut Seksyen 4 (1)(b) AMLATFPUAA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama.
Projek Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi mempercepat pelaksanaan projek bertujuan merancakkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.
Bernilai RM5.7 bilion, projek itu juga bagi meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.
Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan (MoF) di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.
Susulan itu, Mahiaddin dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini sudah dihubungi SPRM untuk membantu siasatan yang dijalankan suruhanjaya terbabit.
Pada Mac lalu, Anwar semasa menggulung perbahasan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan akan meneruskan projek Jana Wibawa untuk membantu golongan Bumiputera.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, projek itu akan melalui proses runding semula berikutan terdapat banyak perlanggaran sebelum ini termasuklah ‘membumiputerakan’ syarikat milik Cina.
BACA JUGA Projek Jana Wibawa bantu Bumiputera diteruskan