Projek NIISe ditamatkan kerana IITS gagal tepati perjanjian

Projek NIISe ditamatkan kerana IITS gagal tepati perjanjian

Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dianugerahkan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Berhad (IITS) telah ditamatkan kerana gagal menepati perjanjian.

“Kerajaan telah menamatkan perjanjian dengan pihak IITS melalui notis bertarikh 10 Ogos 2023 berkuat kuasa pada 14 Ogos 2023 kerana syarikat gagal melaksanakan obligasinya dalam tempoh yang ditetapkan,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian kepada Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah)yang meminta kerajaan menjustifikasi penamatan kontrak dengan IITS.

“Sejak projek ini dilaksanakan mulai 1 Mac 2021, pretasi projek ini tidak pernah menepati jadual perancangan yang telah ditetapkan,” tambah beliau

Saifuddin turut menjelaskan jenis kelewatan IITS.

“Penamatan ini dilaksanakan kerana kemajuan kerja fizikal projek telah lewat selama 4 bulan, syarikat gagal dalam menyediakan persekitaran pembangunan untuk memulakan pembangunan sistem dan gagal menyempurnakan serahan-serahan dalam tempoh remedi yang ditetapkan.

“Sejumlah RM106.93 juta telah digunakan untuk pembayaran penyediaan keperluan pengguna yang berjaya dimuktamadkan dan disempurnakan sebelum penamatan.”

Buat masa ini kerajaan sedang melaksanakan tender terbuka pra kelayakan untuk mengenalpasti kontraktor berkeupayaan tinggi untuk melaksanakan projek tersebut.

Kerajaan berharap projek ini dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di 264 lokasi di seluruh negara termasuk 27 Atase Imigresen di seluruh dunia

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )