Projek tambak laut Pulau Pinang akhirnya dapat kelulusan EIA

Hampir empat tahun menanti, Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) akhirnya mendapat kelulusan daripada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata, projek penambakan laut besar-besaran di negeri itu perlu memenuhi 71 syarat ketetapan.

“Kami menerima surat bertarikh 11 April daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya berhubung kelulusan itu. Namun, masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.

“Oleh itu, kerja penambakan hanya akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Untuk rekod, projek kontroversi itu melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA yang diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan.

Ia susulan bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pulau Pinang kerana dibimbangi akan merosakkan ekosistem dan mata pencarian nelayan.

Dalam masa sama, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar juga menyuarakan kebimbangan yang sama berkenaan dengan pulau buatan itu.

Namun, pada 29 April 2022, laporan baharu EIA dikemukakan bagi membuat semakan semula perhubung isu tambak laut tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kelulusan diberikan untuk pembinaan tiga pulau, dinamakan sebagai A, B dan C.

Beliau berkata, pembinaan akan dimulakan di pulau A, berkeluasan 283 hektar, yang dijangka mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan.

Jelasnya, laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation, untuk bacaan umum.

”Ini adalah salah satu syarat yang kita perlu patuhi dan ia disusuli dengan pengumuman rasmi hari ini,” ujarnya memetik laporan portal negeri Buletin Mutiara.

Projek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek kerajaan negeri membabitkan tambakan tiga pulau bagi membina zon perindustrian, tarikan pelancong, hab pendidikan dan projek perumahan termasuk rumah mampu milik.

Pulau tiruan itu meliputi 1,821 hektar iaitu bersamaan dengan saiz 2,550 padang bola.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa projek itu akan dibangunkan secara lestari dan mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang ekonomi.