Pusat data komprehensif bantu tetapkan kriteria dasar subsidi bersasar

Kerajaan sedang membangunkan pusat data komprehensif bagi membantu menetapkan kriteria bersesuaian bagi pelaksanaan dasar subsidi bersasar, kata timbalan menteri kewangan.

Datuk Seri Ahmad Maslan berkata satu pasukan petugas khas telah diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF) untuk bekerjasama dengan kementerian terlibat bagi meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan subsidi secara bersasar.

Katanya pasukan itu juga sedang mengenal pasti kaedah berkesan, menjimatkan masa dan memberi implikasi kewangan paling minimum kepada kerajaan.

“Ini termasuklah mengumpul data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang mahu tahu bilakah subsidi bersasar akan dilaksanakan dan apakah kriteria yang diguna kerajaan dalam menentukan seseorang individu akan terima subsidi bersasar atau tidak.

Ahmad Maslan menjelaskan langkah pertama telah dilakukan melalui pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar pada separuh tahun 2023 apabila sebahagian kos dilepaskan kepada industri termasuk perbadanan multinasional.

Kepada soalan tambahan Radzi mengenai pendekatan melaksanakan subsidi bersasar, beliau memberitahu kerajaan sedang dalam proses menyiapkan skim Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dijangka siap pada separuh tahun kedua tahun ini.

“Kita sedang menyiapkan sistem itu dan dijangka siap pada separuh tahun kedua 2023. Sama ada Jun, Julai atau Ogos untuk menyiapkan sistem SKDS.

“Bererti selepas subsidi elektrik ini, (kerajaan akan teruskan dengan subsidi) kepada diesel. Bagaimanapun subsidi petrol kita masih tak nampak lagi bila nak dilaksanakan,” katanya.

BACA JUGA: Subsidi bersasar mampu lindungi kedudukan kewangan negara