Pusat salur RM276 juta bina kemudahan SUKMA 2028 di Kelantan – Hannah Yeoh

Ketika pembangkang membuat pelbagai tuduhan termasuk menggunakan istilah ‘zalim’ terhadap Kerajaan Perpaduan, negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS tetap menerima limpahan peruntukan daripada Pusat.

Salah satunya ialah kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sejumlah RM276 juta bagi pembinaan tujuh kemudahan sukan di Kelantan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri itu pada tahun 2028.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keutamaan peruntukan itu adalah pembinaan stadium baharu di Bukit Merbau melibatkan kos RM180 juta di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12.

“Enam lagi projek yang akan dilaksana ialah pembinaan arena tertutup Kompleks Sukan Bukit Merbau dengan kos RM25 juta, stadium hoki (RM19 juta), pusat akuatik (RM20 juta), gelanggang skuasy (RM9 juta), gelanggang boling padang berbumbung (RM8 juta) dan lapang sasar menembak (RM15 juta).

“Pembinaan stadium ini dijangka tidak sempat siap pada 2026 dan ia antara sebab kenapa penganjuran SUKMA di Kelantan dianjak ke 2028,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Yeoh berkata selepas penganjuran temasya itu dianjakkan, SUKMA 2024 akan berlangsung di Sarawak dan 2026 kembali ke Persekutuan dengan dianjurkan Majlis Sukan Negara sebelum ke Kelantan dua tahun kemudian.

Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Yeoh pada 16 Mac lepas.

Pada mesyuarat sama, Yeoh turut memaklumkan peralihan tahun penganjuran SUKMA di Kelantan juga bagi memberi ruang dan masa secukupnya kepada kerajaan negeri bagi membuat persiapan rapi.

BACA JUGA: Fitnah Sukan Sukma: Laporan polis terhadap Ketua Pemuda Pas Kelantan dibuat