Putrajaya bersedia kemungkinan jerebu akibat cuaca panas
Kerajaan melakukan persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku fenomena jerebu susulan cuaca panas yang melanda kawasan Semenanjung ketika ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pemantauan dilakukan di kawasan yang ‘sensitif’ seperti tanah gambut, kawasan mudah terbakar dan kawasan lain yang sering berlaku pembakaran terbuka.
“Ada kemungkinan (berlaku jerebu) dan kita (kementerian) akan mengadakan mesyuarat tentang isu jerebu ini dalam masa terdekat.
“Sebenarnya kita sudah ada sistem untuk bersiap sedia menghadapi jerebu cuma dalam dua atau tiga tahun ini sebab Covid (Covid-19) jadi bila isu Covid ini kita tengok masalah pembakaran dan sebagainya kurang, (aktiviti) industri pun kurang, jadi kali ini keadaan sudah kembali sedia kala jadi kita bersedia untuk berdepan dengan fenomena tersebut,” kata Nik Nazmi lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Iftar Ramadan, di sini, hari ini.
Nik Nazmi berkata kementerian sedang membuat persiapan dari segi bekalan air termasuk kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya berlakunya kekurangan bekalan air ekoran taburan hujan yang rendah.
Semalam laporan menyebut fenomena bahang cuaca panas yang melanda Semenanjung negara adalah disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah dipetik sebagai berkata setakat Rabu, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah Celcius melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang.
Fenomena ini dijangka tidak berlarutan terlalu lama disebabkan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat dalam beberapa hari akan datang.
Bagaimanapun, METMalaysia dalam laporan pada pukul 9.50 malam ini meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Lembah Klang melibatkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling serta Kuala Lumpur.
Ia juga melibatkan Sabah melibatkan pedalaman (Nabawan) dan Sandakan (Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan) sehingga 1 pagi ini.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata laporan itu malam ini.
BACA JUGA: Bahang cuaca panas disebabkan oleh pemanasan muka bumi