Rafizi rancang anjur Klinik Parlimen Pandan, kaunter bergerak hujung minggu

Ahli Parlimen Pandan merancang untuk memperluaskan program Klinik Parlimen Pandan atau kaunter bergerak pusat khidmat pada hujung minggu.

Rafizi Ramli berkata ketika ini Klinik Parlimen Pandan berlangsung pada setiap Rabu minggu kedua dan keempat setiap bulan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk Pandan yang telah hadir bertemu dengan saya dan berkongsi pelbagai isu dan aduan untuk saya dan rakan-rakan di pusat khidmat teliti dan ambil tindakan selanjutnya.

“Saya akan meneruskan program langsung bertemu penduduk seperti program ini sebagai memenuhi amanah dan tanggungjawab saya sebagai ahli Parlimen Pandan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata pihaknya akan memaklumkan tarikh-tarikh-tarikh program Klinik Parlimen Pandan atau kaunter bergerak pusat khidmat di laman media sosialnya dari semasa ke semasa.

Rafizi mendengar masalah dan aduan yang dibawa oleh rakyat dalam program Klinik Parlimen Pandan di pusat khidmat wakil rakyat itu di Pandan pada 15 Mac 2023. Foto FB Rafizi Ramli

 

BACA JUGA: Formula Rafizi dapat sambutan, lebih 22,000 daftar Inisiatif Pendapatan Rakyat