Rahmah gagasan Tun M? Ini penjelasan bekas pegawai Mujahid

Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan bahawa konsep Rahmah yang kini menjadi sebahagian dasar Kerajaan Perpaduan merupakan gagasan diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Beliau berkata gagasan Rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk sekelian alam) telah lama diwacanakan oleh sebilangan ilmuwan atau ulama di Timur Tengah seperti Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Ali al-Qaradaghi sertai diikuti beberapa sarjana tanah air seperti Allahyarham Datuk Dr Sidek Fadhil.

“Sebenarnya konsep Rahmatan lil ‘alamin cuba digagaskan semula dalam bentuk dasar pentadbiran negara oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ketika beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dilantik oleh Tun Mahathir sebagai PM7.

“Tak betul konsep Rahmah diperkenalkan Mahathir,” kata Ali Muda (gambar kecil) dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Mahdzir Ibrahim yang mendakwa konsep Rahmah adalah gagasan Tun Mahathir semasa menjadi PM7.

Laporan memetik beliau sebagai berkata konsep ‘Rahmah’ yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan didakwa bukan daripada idea Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya merupakan gagasan Dr Mahathir.

Katanya konsep dan perkataan ‘Rahmah’ sedang digambarkan sebagai idea Anwar di bawah konsep Madani sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu.

“Rahmah bermula oleh Tun Dr Mahathir. Lebih tepat lagi, gagasan baru ini disebut oleh Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020,” katanya lapor Sinar Harian semalam.

Dr Mahathir ketika berucap dalam perasmian tersebut berkata kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia.

Ali yang menggunakan nama pena Abu Mishkat berkata; “Nampaknya Mahdzir tidak tahu cerita sebenar, maka penerangan daripada Timbalan Ketua Penerangan ini tidak terang dan kelabu.”

Beliau menyatakan Dr Mahathir seolah-olah tiada idea tentang konsep Rahmah dan lambat melancarkan konsep itu sebagai dasar negara walaupun telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

“Dr. Mujahid sebagai Menteri Agamalah yang bersungguh-sungguh memastikan Tun Mahathir menyebutkan tentang konsep itu dalam majlis perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Febuari 2020 itu.

“Secara jadualnya, pelancaran konsep itu sebagai dasar negara sepatutnya dibuat pada pertengahan 2019 lagi tetapi kerana sambutan PM7 yang agak perlahan menyebabkan ia tertangguh bulan demi bulan sehinggalah kerajaan bertukar pada hujung Febuari 2020.

“Sekiranya konsep itu difahami betul-betul oleh PM7 dan melihat kepentingannya, sudah tentu beliau segera melancarkannya,” ujarnya.

Tambahnya apabila kerajaan bertukar kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri, konsep ‘Rahmah’ diam begitu sahaja.

Salahuddin menyerahkan sumbangan Bakul RAHMAH yang merupakan bantuan barangan makanan asas untuk golongan miskin tegar.

Namun Ali menyatakan syukur apabila Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 (PM10), dasar Malaysia Madani telah memberikan tempat semula kepada konsep Rahmah sehingga ia menjadi trending kini.

“Bermula dengan Menu Rahmah di restoran-restoran tertentu atas inisiatif Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama persatuan-persatuan penyedia makanan masak, ia semakin meluas kepada perkara lain demi membantu rakyat yang kesempitan dalam ekonomi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau merasakan bahawa tiada pihak yang mendakwa PM10 yang mencetuskan gagasan itu namun Anwar elah memberi laluan mudah untuk konsep itu dilaksanakan dalam pentadbirannya, tidak seperti PM sebelum beliau.

“Justeru itu, tak perlulah penyokong PM7 seperti Mahdzir Ibrahim cemburukan PM10 kerana PM10 dan penyokongnya pun tak mendakwa konsep itu milik atau gagasan PM10,” ujar Ali lagi.

Ali menjelaskan catatannya mengenai perkara itu adalah berdasarkan pengalamannya dalam membantu Dr. Mujahid membuat kunjungan rasmi dan memberi penerangan kepada menteri Kabinet dan warga kementerian terbabit dalam siri Town Hall yang diadakan sekitar 2019 hingga awal 2020.

“Salah satu gambar saya, mantan Menteri Agama dan beberapa pegawai JAKIM dalam sesi kunjungan rasmi kepada Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng telah dicuri dan dibuat fitnah kononnya menteri daripada DAP itu mempengerusikan mesyuarat untuk menjual aset Tabung Haji,” ujarnya.

Semalam Salahuddin dalam reaksinya kepada perkara itu berkata isu siapa yang mencetuskan konsep Rahmah tidak perlu dipertikai mana-mana pihak selagi ia dapat memanfaatkan rakyat.

“Saya tidak ada masalah sekiranya mereka (ada parti politik) hendak tuntut tentang inisiatif Rahmah, yang penting bagi saya rakyat yang mendapat faedah,” ujarnya.

BACA JUGA: Hampir sembilan juta terima Sumbangan Tunai Rahmah mulai 5 April – MOF