
Raja Kamarul tegur parti bersikap ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menegur sikap “abang besar” dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membawa kepada kekalahan parti itu di Terengganu.
Tanpa merujuk kepada sesiapa, beliau berkata PH sebenarnya mampu memenangi satu atau dua kerusi sekiranya parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan mengakui bahawa PH mempunyai sokongan lebih baik dalam kalangan pengundi bandar dan pengundi campuran.
Baginya, sikap mendominasi sebagai abang besar perlu diketepikan dan bersedia menerima kelebihan parti lain.
“Kelebihan PH adalah di kawasan pengundi urban- bandar yang juga memiliki pengundi campuran.
“Prinsip konsep ini telah dipersetujui pada umumnya di peringkat awal tetapi malangnya tidak dilaksanakan.
“Kerusi campuran seperti DUN Bandar (Kuala Terengganu) dan Cukai (Kemaman) yang mempunyai urban voters dan campuran tidak diberi kepada parti komponen PH dari AMANAH atau PKR.
“Ini adalah kesilapan yang besar dan kita telah hilang peluang memenangi kerusi seperti ini di mana PH mempunyai kelebihan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.
Menurut Raja Kamarul, strategi meletakkan PH di kerusi urban dan campuran di DUN Kota Lama di Kelantan terbukti berkesan apabila calon PH dari AMANAH telah berjaya memenangi kerusi tersebut walaupun calonnya iaitu Dr Hafidzah Mustakim bukan orang Kelantan.
Beliau menegaskan kesekian kalinya, dengan strategi yang baik, PH boleh memenangi kerusi di Kota Bharu dan jika hal sama dilakukan di Kuala Terengganu, tidak mustahil kejayaan yang sama boleh dicapai.
“Zaman sikap abang besar – big brother, telah lama berlalu dan mentaliti ini perlu dikikis jika kita mahu maju.
“Saya tidak begitu terkejut keputusan PRN di Terengganu tetapi saya amat kecewa
“Sikap lebih inklusif menghormati sesama kita dan bukan sikap abang besar perlu diwujudkan dalam gabungan BN-PH di Negeri Terengganu,” ujarnya.
BACA JUGA AMANAH menang kerusi Kota Lama