Raja Melayu bertindak bijak halang ahli politik salah guna masjid – Mahfuz

Raja-Raja Melayu bertindak bijak apabila menghalang ahli politik berceramah di masjid-masjid di beberapa buah negeri ekoran kebimbangan terhadap gerakan kepartian menyalahgunakan rumah ibadat sehingga mampu memberi kesan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar menyambut baik tindakan tersebut berkata langkah tersebut tepat dan perlu diberi sokongan oleh semua umat Islam.

“Ia bukan bermakna masjid-masjid menghalang program-program ilmu sebaliknya tindakan tersebut ialah bagi memastikan perpecahan dalam masyarakat dapat dicegah dan dihalang.

“Semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15 dalam Parlimen Pokok Sena pada Jumaat terakhir terdapat juga seorang khatib jemputan diberi kebenaran oleh imam masjid untuk berkhutbah tanpa mengambil kira sensitiviti makmum dari pelbagai fahaman politik yang hadir pada ketika itu.

“Lebih parah apabila khatib tersebut membawa unsur yang mendorong serta mengajak para pengundi supaya mengundi Perikatan Nasional (PN) sehingga mencemarkan nama baik institusi masjid,” ujar beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah.

Mahfuz berkata perkara yang sama turut terjadi ketika PRU Parlimen Padang Serai yang telah mencemarkan institusi masjid.

Justeru itu tegasnya, peraturan yang sedang dilaksanakan di beberapa buah negeri kini sewajarnya dilaksanakan di seluruh negara supaya tidak ada lagi orang politik atau asatizah membawa mesej yang boleh mencelarukan masyarakat dan umat Islam di negara ini.

“Adalah lebih baik bagi negeri-negeri yang belum membuat keputusan supaya melaksanakannya demi menjaga kesucian masjid serta umat Islam tidak akan berpecah belah dan dapat hidup secara hormat-menghormati dengan persaudaraan Islam tanpa kebencian yang didorong oleh fahaman politik ekstrem,” katanya.

Setakat ini pihak berkuasa agama di Selangor, Perak dan Terengganu telah mengeluarkan arahan melarang pemimpin parti politik berceramah, berkhutbah dan menjadi imam di masjid.

BACA JUGA: Pembatalan ceramah: JAIS kesal pihak timbulkan persepsi buruk