Rakyat akui bekalan telur mencukupi

Rata-rata rakyat mengakui bekalan telur dalam negara mencukupi dengan harga yang stabil dan tidak membebankan.

Reaksi rakyat itu dapat dilihat dalam media sosial Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu berkenaan bekalan ayam dan telur yang kembali normal dan mencukupi dalam masa terdekat.

Mesra memanggil menteri MAFS yang juga Presiden AMANAH sebagai Abang Mat, rakyat berharap situasi bekalan sumber protein itu membolehkan mereka menarik nafas lega.

“Alhamdulillah, telur dah cukup jumlah, melebihi daripada cukup untuk musim perayaan ini.

“Alhamdulillah, telur kembali ada dengan harga RM19.50 sepapan YB, tolong kawal harganya YB Abang Mat.

“Terima kasih YB Abang Mat. Dah stabil telur ni, kuih bakar dan akok saya dah boleh letak lebih telur,” demikian antara komentar warganet.

Ada yang turut berpendapat langkah Kerajaan Perpaduan mengimport telur tanpa dimonopoli mana-mana pihak mulai akhir tahun lalu dilihat secara tidak langsung mempengaruhi sikap pengeluar telur tempatan.

Kelmarin, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memaklumkan bahawa Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) telah memberi jaminan kepada MAFS bahawa pengeluaran bekalan ayam dan telur akan normal dan mencukupi untuk pasaran tempatan bermula bulan ini.

“FLFAM turut menzahirkan penghargaan mereka kepada kerajaan atas usaha dan sokongan dalam mencari penyelesaian yang seimbang tentang masalah yang dihadapi oleh pengguna dan industri di Malaysia berikutan pelbagai cabaran yang wujud dalam proses rantaian bekalan makanan di seluruh dunia,” katanya.

Justeru, MAFS, tambah Mohamad akan terus komited mengadakan libat urus bersama pemain industri bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan bagi menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat.

Baca juga Hadi fatwakan rasuah pilihan raya halal?