Rakyat B40 bakal terima manfaat Payung Rahmah

Rakyat terutama golongan B40 dan miskin tegar bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan program Payung Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif yang bertujuan untuk menangani peningkatan kos sara hidup itu akan diperincikan dalam ucapan Tahun Baharu KPDN di Putrajaya pada lusa.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, program itu membabitkan empat elemen iaitu Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah.

“Payung Rahmah berfokus kepada golongan B40 dan miskin tegar. Sekiranya tidak dibantu, kita bimbang golongan ini akan terkesan dengan keadaan ekonomi global yang dijangka begitu serius tahun ini.

“Menerusi Barangan Rahmah terdapat pakej 10 barangan asas yang dijual pada harga lebih rendah untuk golongan B40.

“Manakala Kafe Rahmah pula adalah khusus bagi pelajar universiti bagi mendapatkan makanan pada harga lebih murah dengan pelajar susah akan dibantu,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran AMANAH Parlimen Pulai, pada malam tadi.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan telah menetapkan beberapa pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam mendepani isu kos sara hidup rakyat.

“Selain Payung Rahmah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mohd Rafizi Ramli sedang menyiapkan pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang sebagai strategi menyediakan negara mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.

“Di samping itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa membuktikan kerajaan serius mahu mendepani isu kos sara hidup dihadapi rakyat,” katanya lagi.

Akhir tahun lalu, Salahuddin dilapor mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain industri termasuk pengedar runcit negara bagi melaksanakan inisiatif Bakul Rahmah (Kasih Sayang), khusus untuk golongan B40.

Dalam hal berkaitan, inflasi kumpulan makanan di negara ini kekal sebagai penyumbang utama kenaikan.

Untuk tahun baharu 2023 ini, ekonomi Malaysia diunjurkan menyederhana antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus kesan ketidakstabilan ekonomi global.

Baca juga Felda salur bantuan musim tengkujuh RM9.7 juta

Â