Ramasamy: Lapan faktor pengaruh Pas, Bersatu merosot

Terdapat lapan faktor yang menyebabkan pengaruh Pas dan Bersatu terhadap pengundi merosot di dalam suasana politik dan sosial semasa, kata Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.

“Pertama, keadaan politik, sosial dan budaya yang beroperasi untuk mendorong parti-parti PN terutamanya di kawasan majoriti Melayu mungkin telah berkurangan, bukan bermakna gelombang hijau itu sudah tiada, tetapi ia tidak berkesan seperti dahulu,” kata beliau di dalam satu hantaran di Facebook.

“Kedua, penggunaan tuduhan rasuah terhadap pemimpin Umno amnya dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi khususnya bagi tujuan promosi gabungan mungkin terjejas akibat dakwaan rasuah, salah guna kuasa terhadap tiga pemimpin Bersatu termasuk Mahiaddin Yassin.

“Oleh itu, tindakan untuk mempamerkan diri sebagai lebih suci mungkin tidak wujud seperti dalam kes pilihan raya parlimen tahun lepas.”

Walaupun tidak ada kes terhadap pemimpin Pas tetapi sikap berdiam diri pemimpin parti Islam itu melibatkan dakwaan rasuah terhadap pemimpin Bersatu memburukkan sokongan terhadap PN,” tambah beliau.

Faktor Anwar

Ramasamy yang juga Adun Perai berkata kedudukan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan dan mentadbir tiga buah negeri boleh memberi saingan kuat di kawasan majoriti Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) terhadap PN nanti.

Menurutnya, faktor prestasi dan perkhidmatan yang cemerlang kerajaan kepada rakyat dan peranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi sebab sokongan rakyat terhadap gelombang hijau itu merosot.

“Anwar telah menunjukkan pentadbiran yang berkesan dan mantap dalam tempoh singkat selama empat bulan di bawah kepimpinannya.

“Selain itu, Perdana Menteri tegas dalam usaha membanteras rasuah tanpa mengira fahaman politik atau kelas dan memberi ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya lagi.

Susulan itu, Ramasamy yang turut memegang jawatan timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang berpendapat kestabilan politik dan ekonomi adalah elemen penting untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Kerajaan Perpaduan mungkin berhadapan dengan pelbagai jenis tekanan dan ketidaktentuan, tetapi dari segi ekonomi nampaknya berkembang dengan baik. Ia terbukti apabila Anwar berjaya menarik pelaburan RM170 bilion dari China dan itu merupakan mata tambahan kepada Kerajaan Perpaduan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Ramasamy yakin rakyat semakin sedar dengan komitmen Kerajaan Madani dalam meningkatkan sosial dan ekonomi negara, sekali gus dapat mengurangkan sentimen perkauman dan agama yang sering dimainkan oleh PN.

“Bukannya gelombang hijau itu hilang dan mati. Ia masih wujud. PN akan melampau dalam menggunakan bangsa dan kaum, tetapi terdapat had yang untuk mengejar ideologi ini,” ujarnya lagi.

BACA JUGA: ‘Gelombang hijau’ makin lemah, PN sukar menang di Negeri Sembilan