Rancangan Selangor 1: Rakyat bakal nikmati 200 projek ekonomi, infrastruktur

Rakyat bakal menikmati lebih 200 projek bermanfaat melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar memberitahu pelan bernilai lebih RM200 bilion bermula tahun lalu melibatkan pembangunan wilayah serta kawasan baharu serta menekankan aspek ekonomi dan infrastruktur.

“RS-1 ada projek persekutuan seperti LRT (transit aliran ringan), projek swasta dan awam. Selain itu, ada juga projek Kerajaan Negeri seperti mendalamkan Sungai Klang dan Skim Jaminan Air Mentah yang akan sempurna hujung tahun ini atau 2024 bagi mengelakkan pencemaran.

“Pembangunan untuk rakyat ini juga termasuk di Gombak. Kita cuba bangunkan infrastruktur, gabungkan jaringan kemudahan dan jalur lebar untuk kemudahan rakyat,” katanya lapor Selangorkini.

Beliau ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati malam tadi.

Pada 2 Ogos lalu, sidang Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan usul projek pembangunan RS-1 2021-2025 berjumlah RM212.44 bilion.

RS-1 memberikan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta berkesan.

Rancangan itu juga  mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

BACA JUGA: Selangor yakin Anwar mampu bawa hala tuju lebih jelas, muafakat bina Malaysia