RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak akan dibentang minggu depan

RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak akan dibentang minggu depan

Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia bagi menubuhkan badan yang bertanggungjawab membela dan mempertingkatkan hak kanak-kanak dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau optimis bacaan kali pertama rang undang-undang itu dapat dibentangkan sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 ini menutup tirai pada 30 November.

Beliau berkata, pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 juga akan dibuat bersekali dengan pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kami tumpu sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 hari ini.

Pada masa sama, Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

“Saya berpendapat isu mengenai golongan rentan terutama kanak-kanak perlu dijadikan realiti dengan penyertaan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak…Anda perlu bersatu padu demi kanak-kanak,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )